Friday, March 5, 2010

PENGARUH ALAM TERHADAP KRAF

1.0 Pengenalan

Seni ukir adalah seni pertukangan tangan yang merupakan budaya tradisi masyarakat melayu sejak zaman-berzaman lagi.Tradisi ukir mengukir ini bukan sahaja menjadi satu kebangganan kepada masyarakat yang menghasilkannya, malah ia merupakan satu daripada nilai seni yang indah dan sukar untuk dipelajari.Seni ukir adalah sebahagian daripada hasil kraftangan yang wujud seiring dengan reka bentuk seni rupa melayu itu sendiri.Pengertian seni rupa menggambarkan kewujudan bentuk-bentuk tiga dimensi yang diselaraskan dengan fungsi dan nilai estetik budaya tempatan. Seni ukir memerlukan kemahiran yang tinggi disamping keahlian bertukang dalam menyesuaikan kehidupan lahiriah dan batiniah.
Kepakaran batiniah hanyalah pengucapan kedua bagi masyarakat tradisi, tetapi keindahan reka bentuk dan ragam hias tersebut membuktikan bahawa seni telah wujud selaras dengan fungsi gunaan. Seni ukir tidak hanya sekadar hiasan pada bentuk seni rupa sesuatu ciptaan, tetapi memperlihatkan juga taraf pencapaian teknik kefasihan pemikiran dan mendedahkan nilai falsafah melayu yang terangkum di sebalik elemen ukiran yang simbolik.
Dalam usaha menghasilkan dan mencantikkan alat-alat tersebut, mereka juga mempercayai bahawa alat-alat itu mempunyai kuasa-kuasa supernatural. Biasanya ukiran yang dipahat adalah dalam beberapa bentuk rupa sama ada berimejkan hidupan yang bernyawa, alam tumbuh-tumbuhan , dan sebagainya yang membawa makna yang tersendiri. Selain itu, ukiran yang dihasilkan oleh mereka itu juga merupakan lambang pemikiran mereka.

2.0 Sejarah Penghasilan Kraf oleh Orang Melayu

Kepakaran masyarakat melayu dalam bidang kraftangan ini muncul sejak zaman prasejarah lagi. Hal ini didasarkan pada kesan-kesan peninggalan arkeologi seperti penciptaan peralatan bagi kegunaan harian seperti pinggan mangkuk, tempat mengisi air, kendi, dan sebagainya yang sudah mempunyai hiasan dan ukiran-ukiran yang tertentu. Tembikar yang ditemui di Gua Cha, Kelantan dan Bukit Tengku Lembu di Perlis merupakan contoh terawal keahlian bertukang dalam menyesuaikan kehidupan lahiriah dan batiniah. (Siti Zainon Ismail 1985: 31).
Masyarakat melayu juga mempunyai cara hidup yang lebih baik terutamanya dalam hasil-hasil kerja tangan, pertanian, dan kepercayaan. Segala-galanya menjadi hak bagi sesebuah masyarakat itu dan menjadi satu cara hidup yang berkembang. Dengan itu, kebudayaan berkembang daripada satu generasi kepada satu generasi yang berikutnya dalam tradisi, kebiasaan, dan organisasi sosialnya.

3.0 Motif

Motif yang berunsurkan makhluk hidup tidak banyak digunakan dalam seni ukir melayu kerana agama Islam tidak menggalakkan penciptaan ragam hias yang berasaskanmakhluk yang bernyawa. Akibat pertentangan ini, para pengukir sama ada secara sedar ataupun tidak cuba mengelakkan diri daripada terus mengukir bentuk-bentuk tersebut. Sekiranya ada, bentuk-bentuk itu akan dipersamar iaitu tidak akan menyerupai objek yang asalnya.

3.1 Motif Fauna

Dalam masyarakat melayu tradisi, setiap ciptaan yang dihasilkan bukan sahaja dipentingkan tentang keindahannya, tetapi mereka juga mempercayai bahawa peralatan yang dibuat itu mempunyai kuasa-kuasa supernatural. Sehubungan itu, ukiran-ukiran yang dihasilkan tidak ketinggalan diterapkan motif-motif binatang yang membawa makna yang tersendiri.
Imej-imej binatang yang banyak diterapkan dalam ukiran melayu tradisi biasanya bermotifkan burung, ikan, dan ayam. Motif ukiran ini dipilih kerana dipercayai membawa rezeki selain melambangkan permainan rakyat seperti berlaga ayam,beradu burung, dan berlaga ikan. Penggunaan motif-motif itu juga sebagai tanda pengabdian kasih sayang mereka terhadap binatang belaan.
Penggunaan unsur-unsur binatang ini memperlihatkan bahawa terdapatnya percampuran pengaruh Hindu dalam kepercayaan tempatan. Menurut kepercayaan Hindu, burung dan ikan merupakan pesuruh yang setia, selain melambangkan kekuatan dan kebanggaan. Burung dianggap sebagai perantaraan antara Tuhan dengan manusia yang bakal mati, manakala ikan dianggap sebagai perantaraan yang boleh berjalan jauh. Dalam legenda India, dan dongeng Arab,ikan dikatakan sebagai penyambung kasih antara dua kekasih yang berada jauh di benua yang berlainan. (Siti Zainon Ismail 1985: 26).

3.2 Motif Flora

Dari segi falsafah, bunga adalah sesuatu yang indah, menarik dan merupakan sebahagian daripada keindahan alam yang boleh menimbulkan perasaan halus, suci, bersihtanda kesegaran, kegembiraan, danketenangan. Oleh sebab itulah bunga merupakan objek utama dalam ukiran. Ukiran yang bermotifkan bunga-bungaan ini bukan sahaja dapat melahirkan rasa halus, tenang, dan segar sebagaimana yang terdapat pada sifat-sifat bunga itu sendiri.

3.2.1 Motif Awan Larat

Awan larat merupakan corak yang paling banyak digunakan dalam seni ukir melayu tradisi. Awan larat sebenarnya berasal daripada perkataan awan dan larat. Awan yang bergerak dilangit apabila dipupuk oleh angin akan melarat dan menghasilkan gambaran yang pelbagai bentuk dan indah. Perkataan larat itu juga dikatakan berasal daripada perkataan Awang.(satu panggilan manja kepada anak lelaki bagi penduduk di pantai timur) dan larat. Suatu hariAwang telah menggaris-garis tanah di hadapan rumahnya. Garis-garis itu melarat-larat sehingga menghasilkan satu reka corak yang menarik. Seorang pengukir yang tertarik dengan lukisan Awang telah mengabdikan lukisan tersebut pada ukiran kayu dan dari sinilah nama ‘awan larat’ itu bermula. (Wan Musa Jusof 1980: 18).
Motif awan larat merupakan contoh yang menarik sebagai suatu ciptaan yang menggambarkan riak rasa dan fikiran orang melayu. Awan larat sama ada dari segi istilah ataupun unsur penciptaannya adalah berimejkan unsur alam yang menunjukkan hubungan yang erat antara masyarakat melayu dengan alam persekitaran mereka. Semua unsur dan isi alam saling membantu dalam menyuburkan fikiran dan perasaan. Alam yang diputari dengan gerak waktu, gentian siang dan malam, cahaya, angin, udara, dan air merupakan beberapa unsur yang menjadikan kehidupan.
Sekiranya dilihat dari sudut tampak, keindahan awan larat memang sudah dikesan. Namun, yang lebih menarik ialah pengertian dalaman yang ingin dikekalkan oleh para pengukir tradisi awal. Ukiran yang berkeluk, berkerawang, dan bersilat mempunyai pengertian yang simbolik. Meskipun pada kenyataannya, ia hanyalah merupakan pengulangan, tetapi kebanyakkan pengukir tidak lagi faham tentang maksud sebenarnya.
Bentuk ukiran ini cuba membayangkan jiwa dan keperibadian masyarakat itu sendiri. Sifat yang berkeluk-keluk dan menunduk ke bawah itu membawa erti kelembutan jiwa masyarakat yang mendasarinya. Sifat tunduk ini membawa maksud tidak suka meninggi diri, sama seperti resmi padi, semakin tunduk semakin berisi. Sifat ini juga membawa persamaan sifat ahli silat melayu yang tidak berbangga dengan ilmu di dadanya.

4.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, dapat dikatakan bahawa lambang atau simbolisme adalah satu bentuk penekanan atau ekspresi budaya masyarakat melayu pada zaman tersebut.Sehubungan itu, untuk menilainya, harus dilihat dari sudut kebudayaan termasuk penelitian terhadap latar belakang sosial, politik, dan ekonomi masyarakat serta hubungannya dengan nilai-nilai ethos dan world-view masyarakat yang mendasarinya. Kesemua ini merupakan penyatuan idea yang berhubung erat antara satu dengan yang lain. Idea ini mempunyai fungsi dan ia adalah penjelmaan dari suasana masa dan kehendak kosmologi masyarakat yang sebenarnya.



BIBLIOGRAFI

Abdul Halim Nasir (2008). Pengenalan Rumah Tradisional Melayu
Semenanjung Malaysia. Kuala Lumpur: Loyal Press.

Abdul Rahman Abdullah (1981). Pengenalan Seni Bina Melalui Aspek-Aspek Fizikal.
Seminar Ke Arah Identiti Kebangsaan Dalam Seni Bina. Kuala Lumpur. 20 – 23 Januari.

Siti Zainon Ismail (1989). Percikan Seni. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Muhammad Afandi Yahya (1995). Simbolisme Dalam Seni Bina Rumah Melayu Kelantan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Kamus Dewan Edisi Ketiga. 2002. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka


* ASSIGMENT PENGAJARAN KRAF

My Family